Khamis, 11 November 2010

Tahniah 5A..!

Khamis, 11 November: Semua yang hadir ke sekolah kelmarin, tertunggu-tunggu untuk satu kepastian. Iaitu keputusan UPSR 2010. Semuanya ternanti-nanti kepulangan Tn. Guru Besar En.Shahril Ridzwan Wan Bin Abdullah dari Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs). Setelah keputusan dikeluarkan, kami difahamkan SK Santan hanya 5 orang murid yang mendapat keputusan 5A daripada 62 orang murid, sekalipun yang menjadi sasaran sekolah adalah 13  orang murid.

Namun berdasarkan 'sembang-sembang' guru subjek yang mengajar tahun 6, sebenarnya tahun ini, yang (diyakini) mampu mendapat 5A sememangnya 5 orang murid sahaja. Fakta ini berdasarkan ujian-ujian yang mereka lalui sebelum ini, termasuklah ujian percubaan UPSR. Angka 13 adalah angka untuk menggalakan semangat murid-murid yang (pertengahan) berpotensi untuk membuat lonjakan pada UPSR tahun ini.

Apapun, warga Panitia Agama Islam SK Santan mengambil kesempatan dan ruang yang ada ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua murid tahun 6 di atas keputusan yang mereka perolehi. "Alfu Mabruk" khusus buat yang mendapat keputusan 5A. "Alfu Mabruk" juga buat semua murid yang tidak mendapat keputusan 5A. "Ini kerana kalian sudah berusaha, dan inilah keputusan yang terbaik (dengan izin Allah) buat kamu. Sebagai muslim kita dituntut untuk berusaha, bukan dituntut untuk menentukan sesuatu kejayaan, kerana 'Kejayaan' adalah anugerah (milik) Allah swt untuk hamba yang dikehendaki-NYA".

Buat warga guru terutamanya guru tahun 6, "janganlah merasa sedih dan berduka, semua guru telah menunjukan komitmen yang terbaik begitu juga pihak pentadbir dan PIBG sekolah yang tidak henti-henti memikirkan yang terbaik untuk murid  tahun 6, segala ketentuan ini hendaklah kita terima dan kita telan dengan hati yang redho".



Berikut senarai murid yang beroleh keputusan cemerlang 5A UPSR 2010:

  • Ahmad Wafiy Bin Ahmad Kamel
  • Muhammad Amin Bin Ahmad Kamal
  • Nasrun Haziq Bin Hussin
  • Nisa Amanina Binti Muhammad Faudzi
  • Nur Faza Zinnirah Binti Fadzil
'Kita merancang, Allah juga merancang. Pastinya perangcangan Allah itu lebih baik'


*Gambar-gambar ini di ambil dari blogger SKS Pn.Intan Dzulhailah di blognya.

Isnin, 1 November 2010

SK Santan Banjir..!

Sekolah Kebangsaan Santan (SKS) antara sebelas buah sekolah yang ditutup hari ini, kerana banjir besar melanda negeri Perlis. Berita penutupan ini dibuat Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) En.Mansor Bin Lat (Baca Sini). Air didapati memenuhi ruang SKS seawal pagi hari isnin lagi (01.11.2010) kerana hujan lebat yang tidak henti-henti semenjak pagi hari ahad lagi.

Apapun, marilah sama-sama kita berdoa kepadaNYA agar semuanya kembali seperti biasa. Anak-anak dapat bersekolah seperti biasa, begitu juga segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Buat rakan-rakan guru terutamanya, dinasihatkan agar berhati-hati dan banyak bersabar di atas ujian dan dugaan ini. Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku ini. "Kita hanya merancang, Allah sahaja yang menentukan".



Khamis, 28 Oktober 2010

Kem Bestari Solat oh KBS


Syukur Alhamdulillah, dan ucapan tahniah buat jawatan kuasa Pendidikan Islam j-QAF Sek. Keb. Santan, kerana berjaya menyempurnakan tugasan tahunan Kem Bestari Solat (KBS) sebanyak 2 kali bagi setiap aliran. Sesungguhnya tanpa komitmen dan tanggungjawab yang tersemat, dan juga perasaan ‘kekitaan’ sesama ahli, mana mungkin program besar ini mampu diharung dan disempurnakan. Apatah lagi guru-guru agama sebenarnya bertarik tali dengan program-program kementerian dan aktiviti-aktiviti panitia lain, bekerjasama dalam semua program. Apapun, kejayaan ini wajib dihargai dan disanjung, kerana ini adalah kejayaan ‘Rumahtangga Panitia Agama’ untuk tahun 2010.

Berikut jadual pelaksanaan KBS 2010 di Sek.Keb.Santan:

Bil
Kelas

KBS Pertama
KBS 2 Kedua
1
Tahun 1
 22 Januari
08 Oktober
2
Tahun 2
 30 April
24Julai
3
Tahun 3
 07 Mei
01 Oktober
4
Tahun 4
14 Mei
15 Oktober
5
Tahun 5
22 Oktober
-

Sekalung penghargaan juga, ditujukan khas kepada Ketua Panitia (KP) Ustazah Fhadla Binti Ismail, yang sentiasa memerah otak untuk memastikan segala agenda di bawah kendaliannya berjalan dengan lancar dan baik. “Insyaallah sesi 2011 Ustazah akan sekali lagi mengemudi bahtera Panitia Agama j-QAF, kami warga panitia akan memberikan kerjasama yang baik demi sama-sama menggerakkan bahtera panitia”.

Warga Panitia juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pn.Rumaiza  Binti  Mt Hassan (Pengusaha Kantin SKS), yang mesra dipanggil ‘kakJa’ yang banyak membantu menyediakan makanan, tempat, dan bekerjasama dengan warga panitia setiap kali berlangsungnya program panitia. “Semoga Allah murahkan rezki kak Ja di mana saja kakJa mencari rezki insyaallah, segala jasa baik kakJa hanya Allah saja yang layak memberikan ganjarannya”.

Sebenarnya, banyak lagi program panitia agama yang berjalan tapi tak dimasukkan ke ruangan ini. Ceramah Nuzul Quran, Sambutan Awal Ramadhan, Program Berbuka Puasa, dan banyak lagi aktiviti-aktiviti panitia yang tak sempat dimasukkan. Sesungguhnya segala yang diceritakan di dalam ruangan ini, bukanlah bertujuan untuk ‘berbangga-bangga’ dan ‘menunjuk-nunjuk’ tetapi ia lebih kepada menghargai usaha diri sendiri mengharungi setahun yang penuh dengan badai dan cubaan. Semoga paparan ini juga, warga panitia akan lebih bersemangat dan bersedia dengan idea-idea yang lebih hebat buat anak-anak didik sesi 2011 nanti.

“Ingat..! Kita ibarat sebatang tubuh, andai sakit salah satu anggota badan, pasti kita semua akan merasa pedihnya”. Selamat Berjaya. Santan Boleh!

Selasa, 21 September 2010

Selamat menempuh UPSR 2010

Selasa; 21 September, sekolah-sekolah rendah seluruh negara bergelut dengan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Mungkin ini ujian terakhir bagi sejarah pendidikan di Malaysia. Namun keputusan akhir masih menjadi tanda tanya sekalipun perbincangan demi perbincangan sudah berlaku. 

Apapun keputusan yang bakal dicapai tidak penting lagi detik ini. Detik ini adalah detik warga sekolah dan juga para ibubapa menumpukan sepenuh perhatian kepada keputusan yang bakal dicapai oleh 'kohot akhir' (mungkin) menggapai keputusan terbaik.

Sekolah Kebangsaan Santan (SKS) juga tidak terlepas dari bahang UPSR ini.  Seramai 62 calon menduduki UPSR kali ini. Sasaran 5A yang cuba dicapai pada tahun ini seramai 13 murid. Walaupun sasaran ini agak besar, namun segala usaha yang ditunjukkan semua pihak insyaallah angka 13 bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai dan dipatri sebagai sejarah sekolah. 'Kita hanya merancang, Allah yang menentukan'.

Walaupun ramai guru-guru agama SKS terlibat sebagai Pengawas Peperiksaan UPSR, namun perasaan 'cemas dan harap' tetap berpaut pada sanubari guru-guru. Kesempatan yang ada ini, warga Panitia Agama SKS ingin merakamkan ucapan 'Selamat Berjaya' menempuh UPSR 2010.

'Doa kami panjatkan semoga kalian sentiasa dirahmati Allah dan berjaya memperoleh 5A serta menjadi insan yang kasih pada ibubapanya dan berguna pada agama, bangsa dan negara' 

'Santan Boleh'

Selasa, 7 September 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua..!


Buat warga SK Santan serta para pengunjung blog Panitia Agama SK Santan, kami warga panitia mengucapkan jutaan kemaafan andai selama ini ada perkara atau tingkah laku yang menyentuh perasaan warga sekolah kami menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan. Buat murid-murid yang disayangi, "jangan terlalu asyik bersuka-ria sehingga solat lima waktu terabai. Ingatlah Allah dimana saja kita berada. Khusus murid-murid tahun 6 yang akan menduduki UPSR, jadikan buku teman kalian, ulangkaji jangan jemu kerana kejayaan sedang menanti kalian semua, apa yang penting adalah KESUNGGUHAN & TAWAKKAL pada Allah, banyakkan berdoa dan mengadu dengan-NYA, pasti hajat kalian dimaqbulkan-NYA... ustaz dan ustazah sentiasa mendoakan kejayaan kalian di dunia dan di akhirat".

Kesempatan ini juga kami mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN. SEMOGA AMALAN KITA PADA TAHUN INI DINILAI SEBAGAI HASANAH (KEBAIKAN) INSYAALLAH.


Tulus Ikhlas Daripada:

Ustazah Fhadla Ismail (Ketua Panitia)
Ustaz Mohd Dzahar Ahmad (SU Panitia)
Ustaz Azmi Abdullah (AJK)
Ustaz Mohd Sofi Bakar@Man (AJK)
Ustaz Mohd Khidzrul Hafiz Mohd Hussin (AJK)
Ustazah Nawal Faizah Ishak (AJK)
Ustazah Faridah Abdullah (AJK)

Sabtu, 27 Mac 2010

Gerai Panitia di Temasya Olahraga

Pada 25 & 26 Mac, berlangsungnya Kejohanan Bola Jaring, peringkat Pusat Kecemerlangan Pelajaran (PKP) Jejawi, bertempat di padang SK Santan. Seramai 6 pasukan menyertai kejohanan ini. Temasya yang penuh kemeriahan ini, berjalan dengan sebaiknya dan seperti yang dirancang.

Panitia Agama (PA) & Pusat Sumber Sekolah (PSS), mengambil peluang untuk menyumbang kemeriahan temasya ini dengan membuka gerai jualan. Gerai PA memilih untuk menjual ais krim M`sia, sagon, dadih dan pelam asam. Manakala gerai PSS menjual rojak, air minuman pelbagai perisa, sandwich dan gula-gula.

Sambutan pengunjung sangat memberangsangkan. Cuaca yang sangat panas, melariskan lagi jualan-jualan di gerai. PA juga melantik beberapa orang murid dari kalangan ahli Kelab Agama Islam & Bahasa Arab untuk berperanan sebagai 'Mobile Kiosk' menjaja barang-barang PA di setiap ruang temasya berlangsung.

Urusan jual beli, tukaran wang syiling, dan susun urus jualan 'mobile kiosk' semuanya diurus oleh ahli kelab disamping penyeliaan dan pemantauan dari guru. Penglibatan ahli kelab dalam jualan ini juga, bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada aktiviti luar bilik darjah. Elemen amanah, bertanggungjawab adalah antara nilai murni yang dipupuk dalam aktiviti ini. Sehinggakan ada murid yang datang kepada guru membawa wang kertas RM10 untuk dikembalikan sebanyak RM9.50 kepada pengunjung gerai yang bersantai di bawah khemah peserta . Semoga budaya 'al-Ihsan' sentiasa tersemat di hati murid-murid dan diri kita semua.

Setinggi tahniah diucapkan kepada pentadbir sekolah, kerana membenarkan PA membuka gerai jualan. Begitu juga setinggi penghargaan kepada warga PA dan murid-murid yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu melicinkan aktiviti PA kali ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian.

*Pengertian al-Ihsan: ialah bahawa kamu menyembah Allah seperti kamu melihat Nya, maka jika kamu tidak dapat melihat Nya, maka (yaqinlah) sesungguhnya Allah melihat kamu.

'TERIMA KASIH SEMUA' 

Ahad, 21 Mac 2010

Maulidur Rasul Suatu Penghayatan.


“Tahniah buat Panitia Agama Islam kerana dapat melaksanakan program Maulidur Rasul seperti yang tercatat dalam taqwim sekolah” 
En.Shahril Ridzwan Wan Bin Abdullah (Guru Besar).


Jumaat, 12 Mac 2010, Ruang legar kantin SKS bergema lagi dengan laungan selawat, setelah ianya bergema pada 25 Feb yang lalu dalam mesyuarat agung PIBG sekolah. Kali ini giliran Panitia Agama Islam (PAI) pula menganjurkan program sempena maulidur rasul. Laungan selawat memuji baginda SAW dipimpin oleh ustaz Mohd Dzahar Ahmad bersama warga guru dan murid-murid yang hadir.

Sambutan kali ini dilaksanakan dengan aktiviti yang sangat terhad, berikutan minggu ini merupakan minggu peperiksaan. Kumpulan sasaran program maulidur rasul kali ini adalah dikalangan murid tahap dua (tahun 4, 5 & 6).

Namun, syukur alhamdulillah kerana segala yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan izin Allah. Kekangan masa, kesibukan dengan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum di peringkat kawasan, tidak menghalang PAI mengatur program ringkas menjayakan maulidur rasul pada tahun ini.

Bertemakan ‘Maulidur rasul suatu PENGHAYATAN bukan KEMEGAHAN’ PAI meletakkan dua objektif penting dari program ini.

Pertama: Memberi pengetahuan kepada murid mengenai Maulidur Rasul. 
Kedua   : Mewujudkan kesedaran dan kasih sayang terhadap junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Justeru, bagi merealisasikan objektif ini, PAI mengundang ustaz Mohd Khidzrul Hafiz menyampaikan ceramah maulidur rasul yang mencakupi aspek pengetahuan dan penghayatan terhadap perjuangan baginda Muhammad SAW. Beliau juga menjalankan ‘kuiz spontan’ bagi menguji kepekaan dan pengetahuan murid terhadap ‘content’ yang disampaikan. Alhamdulillah sambutan dari murid-murid sangat membanggakan.

Sebelum bersurai, Guru Besar (GB) menyampaikan ucapan terima kasih terhadap PAI kerana program maidur rasul ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. GB juga, merakamkan ucapan terima kasih dan menyampaikan cenderahati kepada 5 orang guru pelatih dari IPGM Kampus Perlis dan Tengku Bainun, di atas khidmat yang diberikan, sekalipun mereka hanya berada dua minggu sahaja di sekolah.

Majlis yang bermula pada 10.50 pagi, berakhir pada 12.10 tengahari.

Sabtu, 13 Mac 2010

KBS sulung 2010


JUMAAT 29 Jan, Panitia Pendidikan Islam SK Santan telah berjaya menjalankan aktiviti Kem Bestari Solat (KBS) kali 1 untuk murid-murid tahun satu 2010. Program yang dirancang semenjak penghujung 2009 dapat dilaksanakan mengikut taqwim sekolah. Ini merupakan program kedua Panitia Pendidikan Islam setelah program ceramah Maal Hijrah yang diadakan pada minggu pertama pesekolahan.


Objektif kem ini, lebih kepada 'ta`aruf'. Iaitu memperkenalkan kandungan program kepada murid-murid tahun satu, selain menanam minat dan tanggungjawab terhadap kefardhuan solat lima waktu. Baginda Rasulullah SAW sangat menekankan pendidikan solat terhadap anak-anak. Sabda baginda yang bermaksud: "Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka (anak lelaki dan perempuan) ketika mereka berusia sepuluh tahun...".

Sesungguhnya tuntutan solat ini adalah tuntutan asas dan pokok dalam agama Islam. Seseorang itu akan terlebih dahulu diperhitung amalan solatnya di hadapan Allah sebelum dilihat segala 'hasanah' zakat, sedekah, haji dan lain-lain. Insyaallah, siri-siri KBS yang berikutnya akan memantapkan lagi asas-asas bacaan dalam solat, di samping praktikal solat yang lebih disiplin dan teratur.

Program KBS kali pertama ini, dihadiri seramai 50 orang murid dari kelas 'Maju' dan 'Jaya', manakala fasilitator nya seramai 7 orang guru. Program yang bermula jam 2.30 petang ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan dari ibubapa murid. Semoga sokongan ini akan berterusan selama anak-anak mereka di SKS insyaallah.

Segunung tahniah, kami dedikasikan buat Ketua Panitia (KP) Pendidikan Islam Ustazah Fhadla Ismail di atas kemitmen yang sangat tinggi, segala program yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan mengikut taqwim sekolah. "Syukur alhamdulillah..! Dah selesai satu KBS" ujar ustazah Nawal. "Tengok la, sapa KP tahun ni, ayaq mineral pun dapat, biskut pun sedap" sampuk ustaz Dzahar sambil mengisyaratkan pada KP. Kami akan cuba memberi komitmen yang terbaik terhadap KP insyaallah. Program berakhir dan bersurai jam 5.15 petang setelah selesai solat asar berjamaah.

Tahniah warga PI... Segala kerjasama didahului dengan ucapan jazakallahu khairan kathira, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Santan Boleh!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...