Isnin, 9 Mei 2011

Hebat berbahasa arab

Media Qatar kagumi Abu Hafiz


MOHAMMED Hamood Ali al-Rajawi (kiri) bersama Mohammed Hamood al-Zubaidi (tengah) dan Maher Mohammed Ali bergambar dengan hadiah kemenangan di Kampus UIAM, Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Mei – Kepetahan wakil tunggal Melayu berdebat dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab Dunia Kali Pertama di Doha, Qatar, baru-baru ini dikagumi rakyat negara berkenaan terutama media massa yang tidak putus-putus membuat liputan mengenainya.

Sepanjang kejohanan itu berlangsung dari 26 sehingga 28 April lalu, berita mengenai Abu Hafiz Salleh Hudin (gambar) , 23, yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sering dijadikan berita utama beberapa akhbar di negara itu.

Antara tajuk berita itu seperti ‘Kepetahan Abu Hafiz berdebat, tamparan hebat kepada masyarakat Arab’ yang menghiasi berita di bahagian pendidikan akhbar Al-Arab, The Arab Peninsular, Al-Shuruq dan Al-Sharq.

Kejayaan pemuda itu dan dua rakan sepasukannya meraih tempat ketiga dalam kejohanan itu turut membuka mata pakar bahasa Arab terhadap ‘produk’ yang dilahirkan oleh universiti negara ini.

“Setiap saat pihak media mengikut jejak saya. Saya dijadikan topik perbualan masyarakat Arab serta contoh kepada anak-anak muda mereka supaya menghargai bahasa Arab,” katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan kejayaan itu hari ini.

Turut hadir Rektor UIAM, Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.

UIAM mencatat kejayaan besar pada kejohanan itu apabila satu lagi pasukan dari universiti itu yang diwakili tiga penuntut dari Yemen iaitu Mohammed Hamood Ali al-Rajawi, Mohammed Hamood al-Zubaidi dan Maher Mohammed Ali muncul juara.

Menurut Abu Hafiz, antara rahsia dia cepat menguasai bahasa Arab adalah dengan selalu berdebat dengan rakan-rakan dan mengkaji perbualan bahasa Arab di televisyen.
Sementara itu Penasihat Kelab Debat UIAM, Prof. Dr. Rahmah Othman berkata, latihan intensif selama 11 hari yang dijalani peserta membuahkan hasil.

“Kami turut berbincang dengan kerajaan Qatar agar kejohanan tersebut diadakan di negara ini pada Februari 2013 dan mengharapkan penyertaan lebih ramai termasuk dari universiti ternama seperti Harvard, Oxford dan Yale,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammed Hamood al-Rajawi yang muncul speaker terbaik dalam kejohanan tersebut berjanji untuk terus berusaha mengekalkan prestasi UIAM sebagai institusi pengajian tinggi yang berjaya melahirkan pendebat terbaik di dunia dalam bahasa Arab.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...