Ahad, 21 Mac 2010

Maulidur Rasul Suatu Penghayatan.


“Tahniah buat Panitia Agama Islam kerana dapat melaksanakan program Maulidur Rasul seperti yang tercatat dalam taqwim sekolah” 
En.Shahril Ridzwan Wan Bin Abdullah (Guru Besar).


Jumaat, 12 Mac 2010, Ruang legar kantin SKS bergema lagi dengan laungan selawat, setelah ianya bergema pada 25 Feb yang lalu dalam mesyuarat agung PIBG sekolah. Kali ini giliran Panitia Agama Islam (PAI) pula menganjurkan program sempena maulidur rasul. Laungan selawat memuji baginda SAW dipimpin oleh ustaz Mohd Dzahar Ahmad bersama warga guru dan murid-murid yang hadir.

Sambutan kali ini dilaksanakan dengan aktiviti yang sangat terhad, berikutan minggu ini merupakan minggu peperiksaan. Kumpulan sasaran program maulidur rasul kali ini adalah dikalangan murid tahap dua (tahun 4, 5 & 6).

Namun, syukur alhamdulillah kerana segala yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan izin Allah. Kekangan masa, kesibukan dengan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum di peringkat kawasan, tidak menghalang PAI mengatur program ringkas menjayakan maulidur rasul pada tahun ini.

Bertemakan ‘Maulidur rasul suatu PENGHAYATAN bukan KEMEGAHAN’ PAI meletakkan dua objektif penting dari program ini.

Pertama: Memberi pengetahuan kepada murid mengenai Maulidur Rasul. 
Kedua   : Mewujudkan kesedaran dan kasih sayang terhadap junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Justeru, bagi merealisasikan objektif ini, PAI mengundang ustaz Mohd Khidzrul Hafiz menyampaikan ceramah maulidur rasul yang mencakupi aspek pengetahuan dan penghayatan terhadap perjuangan baginda Muhammad SAW. Beliau juga menjalankan ‘kuiz spontan’ bagi menguji kepekaan dan pengetahuan murid terhadap ‘content’ yang disampaikan. Alhamdulillah sambutan dari murid-murid sangat membanggakan.

Sebelum bersurai, Guru Besar (GB) menyampaikan ucapan terima kasih terhadap PAI kerana program maidur rasul ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. GB juga, merakamkan ucapan terima kasih dan menyampaikan cenderahati kepada 5 orang guru pelatih dari IPGM Kampus Perlis dan Tengku Bainun, di atas khidmat yang diberikan, sekalipun mereka hanya berada dua minggu sahaja di sekolah.

Majlis yang bermula pada 10.50 pagi, berakhir pada 12.10 tengahari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...