Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Semasa. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Oktober 2011

3% dapat manfaat, Penentangan PPSMI berASAS..!

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa hanya tiga peratus pelajar mendapat manfaat daripada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membuktikan kebenaran perjuangan menentang dasar tersebut.


Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid berkata, kajian itu sekaligus menafikan dakwaan pihak yang pro PPSMI bahawa ianya memberikan banyak manfaat kepada semua pelajar di seluruh negara. Sebaliknya beliau berkata, seperti yang dijelaskan pihak yang menentang PPSMI sebelum ini, PPSMI hanya akan memberikan manfaat kepada pelajar di kawasan bandar.

“Yang lebih penting kita tekankan, kalau benar-benar kita nak laksanakan pendemokrasian pendidikan, kita harus menekankan aspek bahasa.

“Majoriti penduduk di Malaysia jauh lebih cepat memahami mata pelajaran Matematik dan sains dalam Bahasa Melayu.

“Oleh itu adalah tidak logik dan tidak demokratik kalau nak laksanakan PPSMI,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Cikgu Azmi yang merupakan salah seorang anggota Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), turut berkata, PPSMI bukan penyelesaian kepada usaha meningkatkan prestasi pelajar dan mewujudkan persaingan di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan perlu baiki teknik dan keperluan Bahasa Inggeris kalau betul-betul nak tingkatkan penguatkuasaan bahsa itu.

“Kalau kerajaan kata kita akan payah bersaing dalam bidang ekonomi kalau tidak kuasai Bahasa Inggeris, itu tak betul kerana kita lihat sekarang ekonomi sudah jadi kacau bilau walaupun ramai pakar ekonomi yang menguasai Bahasa Inggeris,” katanya yang masih aktif menyampaikan ceramah mengenai PPSMI.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan tetap dengan keputusan untuk memansuhkan PPSMI tahun hadapan jika mengutamakan kepentingan negara.

“Saya patahkan hujah pihak yang pro PPSMI bahawa PPSMI untuk kepentingan negara.

“Saya tegaskan, dengan melaksanakan PPSMI perbuatan merosakkan negara,” katanya.

GMP pernah mengajurkan demonstrasi besar-besaran di ibu negara pada 2009 membantah dasar tersebut yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan pejuang-pejuang bahasa yang lain.

Sabtu, 9 Julai 2011

Aman Palestin di SK Santan

"Panitia merasakan isu  ini mesti diketengahkan kerana isu Palestin yang melibatkan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab semua orang Islam tidak kira di negara mana  ia berpijak".

JUMAAT 29 Rejab 1432 bersamaan 01 Julai 2011, Sekolah Kebangsaan Santan (SKS) melalui Panitia Agama Islam telah bekerjasama dengan Aman Palestin dalam  program “Ceramah  Isra` Mikraj” peringkat sekolah. Aman Palestin diwakili oleh En. Noorzamri Bin Ibrahim telah menyampaikan ceramahnya dengan baik sekali, apatah lagi ceramah tersebut disertakan paparan realiti kehidupan masyarakat Islam di Palestin mempertahankan Masjidil Aqsa dari ancaman zionis Israil.

Ceramah yang mengambil masa hampir saju jam setengah itu menjadikan murid-murid teruja untuk terus menerokai info-info berkaitan bumi Palestin yang merupakan khazanah Islam yang mesti dipertahankan.


Sasaran program ini ialah untuk “memeperkenalkan isu Masjid al-Aqsa dan Palestin” kepada seramai 126 murid dari tahun 5 dan 6. Panitia merasakan isu  ini mesti diketengahkan kerana isu Palestin yang melibatkan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab semua orang Islam tidak kira di negara mana  ia berpijak. Panitia juga berhasrat untuk melanjutkan isu-isu Palestin kepada sasaran yang lebih besar seperti warga sekolah dan warga ibubapa di masa-masa hadapan insyaallah.

Pihak Aman Palestin juga ada melancarkan derma kilat ‘untukmu Palestina’. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakan, sekalipun murid-murid tidak diberitahu sebelumnya berkenaan ‘derma kilat’ yang akan dikutip. Murid-murid juga ada menyumbang dengan membeli ‘cenderamata’ melalui pameran yang diadakan.

Akhirnya, pihak SKS melalui Panitia Agama Islam mengucapkan jazakallahu khairan kathira di atas kesudian pihak Aman Palestin bertandang ke sekolah ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada En. Mohd. Azrin Samsudin (staf Aman Palestin, Bangi) yang menjadi pengantara dalam menjayakan urusan ini, sekalipun urusan ini dirancang secara ad-hoc namun apa yang dirancang dapat berjalan seperti tarikh dan waktu yang ditetapkan. ‘Terima kasih Aman Palestin! SK Santan bersamamu dalam menggerakkan isu-isu Palestina’.

Sabtu, 4 Jun 2011

Muktamar lulus usul perkasa pendidikan Islam

DMPP juga mahu Kementerian Pelajaran meneruskan subjek j-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah diteruskan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar beragama Islam sehingga tamat tingkatan 5.
(Dewan Muslimat Pas Pusat)
KUALA LUMPUR, 5 Jun: Muktamar PAS hari ini meluluskan usul Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang mendesak kerajaan agar perkasakan Pendidikan Islam.

DMPP hari ini mengusulkan Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil beberapa tindakan terhadap subjek Pendidikan Islam yang semakin dipandang remeh oleh masyarakat.

Usul yang dibacakan wakil DMPP, Wan Hamidah Wan Ahmad mencadangkan Kementerian Pelajaran meminda syarat pensijilan di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai syarat asas pensijilan bagi pelajar-pelajar beragama Islam.

DMPP juga mahu Kementerian Pelajaran meneruskan subjek j-QAF yang diperkenalkan di sekolah rendah diteruskan ke sekolah menengah untuk menjamin penguasaan Jawi, Al-Quran dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar beragama Islam sehingga tamat tingkatan 5.

Selain itu, DMPP menggesa Kementerian Pelajaran mewajibkan ujian Tilawah Al-Quran kepada semua pelajar Islam di peringkat UPSR, PMR dan SPM bagi memastikan semua pelajar Islam menguasai dan celik Al-Quran dan sijil khas dikeluarkan kepada pelajar-pelajar.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof pada sidang media selepas itu berkata, DMPP amat prihatin terhadap isu pendidikan Islam ini kerana menyedari senario keruntuhan akhlak yang amat parah di setiap peringkat umur.

Malah katanya lebih menakutkan ialah mereka yang terpelajar tetpi berani melawan perintah Allah SWT dan tidak yakin dengan akhirat.

"Hampir keseluruhan umat Islam hari ini keliru dan terpedaya dengan kemilau sinar pendidikan yang berbentuk sekularisme hasilnya kita sedang menyaksikan insan yang berperibadi terpisah, separa sedar, hilang daya tahan dan daya juang," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Menurutnya juga, DMPP sedar subjek pendidikan Islam dan moral telah menjadi subjek teras di setiap peringkat persekolahan kerana subjek pendidikan Islam adalah satu-satunya subjek yang mampu membangunkan diri manusia secara menyeluruh, seimbang dan sepadu.

"Kami menyedari sistem pendidikan negara berorientasikan peperiksaan, maka subjek pendidikan Islam sekadar subjek teras untuk dipelajari sahaja dan dijawab oleh pelajar di dewan peperiksaan semat-mata, maka pengajaran dan pembelajarannya sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Ini katanya menyebabkan ia tida dianggap penting terutama dalam menentukan syarat pensijilan bagi setiap tahap peperiksaan,malah dianggap subjek yang tida langsung mempunyai nilai ekonomi dan keperluan pasaran kerja.

"Hasilnya tida seorang pun boleh menafikan kegagalan sistem pendidikan negara dalam melahirkan insan yang cemerlang di dunia dan akhirat," katanya.

Turut bersama timbalan ketua DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud yang juga ahli Parliemn Kota Raja dan naib ketua, Senator Mumtaz Md Nawi.



Sumber: harakahdaily

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...