Ahad, 27 Mac 2011

MTQ PKP Jejawi 2011

Santan, 26 Mac 2011- Syukur ahamdulillah, walaupun dalam suasana dingin dan cuaca hujan, Majlis Tadarus al-Quran (MTQ) peringkat Pusat Kecemerlangan Pelajaran Jejawi (PKPJ) Zon 4, dapat berlangsung dan berjalan seperti yang dirancang. Program besar sebegini pastinya ada kekurangan dan kelemahan sekalipun segala kelemahan dan kekurangan itu cuba difikir dan disifarkan oleh pihak urusetia program. Namun kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah pastinya lebih baik.

Pertandingan MTQ PKPJ 2011 dirasmikan oleh En. Zolkapli Bin Jelani, Ketua Sektor Pendidikan Islam JPNPs. Sebanyak 5 acara yang dipertandingkan dengan melibatkan murid lelaki dan perempuan dalam acara Tilawah, Hafazan, Bercerita, Kuiz dan Nasyid. Pertandingan kali ini juga melibatkan  seramai 133 orang murid dari tujuh buah sekolah yang mengambil bahagian. Bertemakan 'Aqidah Kukuh Akhlak Terpuji' program kali ini bertujuan mengasuh minat dan mengasah bakat murid-murid di lapangan kesenian agama.

Pihak urusetia juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dari SK Jejawi  (SKJ), SK Kampung Salang (SKKS), SK Oran (SKO), SK Institut Perguruan Guru Malaysia (SK IPGM) Kampus Perlis, SK Chuping (SKC), SK Dato` Kayaman (SKDK), dan SK Santan (SKS). Sekalung tahniah juga ditujukan kepada seluruh warga SKS, yang bertungkus lumus membuat persiapan dan memberi komitmen yang baik dalam menjayakan program ini. "Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian semua".

Pihak urusetia juga, ingin mengucapkan 'TAHNIAH' kepada semua pemenang-pemenang, dan kepada yang tidak berjaya, 'anda juga adalah pemenang, kerana anda semua adalah dikalangan yang terbaik dipilih untuk mewakili sekolah anda, jangan putus asa kerana bakat yang ada adalah anugerahNya kepada hamba-hambaNya yang terpilih sahaja'.


Sabtu, 26 Februari 2011

Pasukan Bola Sepak SKSantan..!

"Sesungguhnya segala kerjasama kalian hanya Allah yang berhak menilai dan membalas ganjarannya". (Pengurusan Pasukan SKS)


Kejohanan bola sepak peringkat Pusat Kecemerlangan Jejawi (PKPJ) telah pun berakhir. Kejohanan bermula pada 21 februari hingga 25 februari 2011 bertempat di padang SK Dato` Kayaman, Perlis. Sebanyak 7 pasukan yang mendaftarkan diri untuk bertanding. SK Santan (SKS) di undi dalam kumpulan A bersama SK Jejawi (SKJ), SK Chuping (SKC), dan SK Kampung Salang (SKKS), manakala SK Oran (SKO), SK Dato` Kayaman (SKDK), dan SK Institut Perguruan Guru Malaysia Kampus Perlis (SK IPGM) diundi dalam kelompok B.

Persiapan membina pasukan sekolah yang baru atau 'new team' sebenarnya telahpun dimula pada tahun 2010 di bawah kendalian En. Eizar Azlan Bin Taharim, En. Mohd Khidzrul Hafiz dan En. Fadzeli Salleh (wakil PIBG), setelah pihak pengurusan menyedari SKS sudah ketiadaan murid-murid yang berpotensi seperti tahun-tahun sebelumnya. Usaha tersebut bertujuan meningkatkan semula nama SKS dipersada bola sepak peringkat PKPJ khasnya dan diperingkat negeri amnya, yang suatu ketika dahulu menjadi pasukan yang sering digeruni diperingkat PKPJ. Paling akhir SKS menjadi juara PKPJ adalah pada tahun 2008 dan menjadi juara negeri pada 2007 di Kejohanan Sukan Mini Bola Sepak MSSPs Bawah 11 Tahun.

Pihak pengurusan bola sepak pada tahun ini (2011) sebenarnya menyambung usaha yang telah dibuat pada tahun yang lalu. Tahun ini di bawah kendalian En. Shahrizan Othman sebagai pengurus pasukan, dan En. Mohd Khidzrul Hafiz Bin Mohd Hussin sebagai jurulatih serta dibantu oleh 'tenaga pakar' En. Fadzeli Salleh (Naib YDP PIBG), berhasrat membawa pasukan sekolah pergi lebih jauh, sekurang-kurangnya mencapai pencapaian yang lebih baik berbanding pencapaian tahun lalu.

Sasaran kali ini juga adalah sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Sasaran ini berdasarkan pembentukan pasukan yang masih muda, dan kebolehan murid-murid SKS yang ditahap 'sederhana'. Namun syukur alhamdulillah, pasukan yang masih 'setahun jagung' ini, mampu mencapai sekurang-kurangnya 'target' ke separuh akhir, setelah beraksi cemerlang diperingkat kumpulan dengan mengumpul 9 mata sekaligus menjadi 'Johan Kumpulan' sebelum tewas di tangan pasukan SKDK diperingkat 'separuh akhir'.

Jutaan terima kasih ditujukan kepada Pn. Wan Nor Anita (PK-KO) yang memberi kerjasama yang baik dengan pihak pengurusan pasukan. Tak lupa juga kepada Tn. Guru Besar En. Ridzwan Wan Bin Abdullah yang banyak memberi 'galakan semangat' kepada pemain-pemain sekolah. Pastinya peristiwa 'Replika Piala Dunia' dan 'Medal' tak akan dilupakan oleh seluruh warga SKS terutamanya pemain-pemain sekolah. Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada En. Fadzeli Bin Salleh (wakil-PIBG) yang menyumbang 'kepakaran' dan 'ilmu bola sepak' kepada pemain-pemain sekolah. Terima kasih juga buat guru-guru yang tak jemu-jemu hadir memberi sokongan, galakan dan nasihat demi kebaikan pasukan sekolah. "Sesungguhnya segala kerjasama kalian hanya Allah yang berhak menilai dan membalas ganjarannya".

Berikut keputusan perlawanan yang melibatkan SKS di Kejohanan Bola Sepak PKPJ 2011:
  • SKS menewaskan SKC     2-0
  • SKS menewaskan SKKS    6-1
  • SKS menewaskan SKJ      3-1
  • SKS tewas kepada SKDK  0-3 (Separuh Akhir)
SKS mengakhiri kempen kejohanan tahun ini dengan berkongsi tempat ketiga bersama SKJ.

Jumaat, 18 Februari 2011

Warga Panitia Agama & Bahasa Arab 2011


PENASIHAT         : EN. SHAHRIL RIDZWAN WAN BIN ABDULLAH (GB)

PENGERUSI        : EN HALIT BIN MOHAMAD (PK 1)

KETUA PANITIA   : EN. MOHAMAD SOFI BIN BAKAR@MAN

SETIAUSAHA      : PN. FHADLA BINTI ISMAIL

BENDAHARI       : PN. NAWAL FAIZAH BINTI ISHAK

AJK                  : EN. AZMI BIN ABDULLAH
                         EN. FADZIL BIN OMAR
                         EN. MOHD. KHIDZRULHAFIZ BIN MOHD HUSSIN
                         PN. FARIDAH BINTI ABDULLAH


Panitia Agama Pendidikan Islam mengucapkan ‘Tahniah’ kepada En. Mohd Dzahar Bin Ahmad yang berpindah ke Sek. Keb. Batu Bertangkup sebagai GPK HEM di sana. Beliau yang senang dipanggil ustaz Dzahar telah berkhidmat di SK Santan selama 3 tahun. Sepanjang tempoh di SKS, beliau banyak memegang jawatan-jawatan penting seperti Ketua Panitia, Guru Disiplin dan beberapa jawatan lagi di bawah unit HEM dan KO-KO. “semoga ustaz Dzahar terus cemerlang dan komited dengan tugas yang baru, persekitaran yang baru dan cabaran yang baru di sekolah yang baru”.

Kesempatan yang ada juga, Panitia Agama ingin mengalu-alukan kedatangan ustaz Fadzil Bin Omar ke SK Santan, menggantikan ustaz Dzahar yang berpindah ke SK Batu Bertangkup. ‘Semoga kehadiran ustaz ke sini, menjadikan panitia agama lebih maju dan terus kehadapan dengan idea-idea baru dan dapat mengisi segala kelemahan-kelemahan yang ada dalam panitia agama”.

SELAMAT BERTUGAS dan SELAMAT BERKHIDMAT

Khamis, 11 November 2010

Tahniah 5A..!

Khamis, 11 November: Semua yang hadir ke sekolah kelmarin, tertunggu-tunggu untuk satu kepastian. Iaitu keputusan UPSR 2010. Semuanya ternanti-nanti kepulangan Tn. Guru Besar En.Shahril Ridzwan Wan Bin Abdullah dari Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs). Setelah keputusan dikeluarkan, kami difahamkan SK Santan hanya 5 orang murid yang mendapat keputusan 5A daripada 62 orang murid, sekalipun yang menjadi sasaran sekolah adalah 13  orang murid.

Namun berdasarkan 'sembang-sembang' guru subjek yang mengajar tahun 6, sebenarnya tahun ini, yang (diyakini) mampu mendapat 5A sememangnya 5 orang murid sahaja. Fakta ini berdasarkan ujian-ujian yang mereka lalui sebelum ini, termasuklah ujian percubaan UPSR. Angka 13 adalah angka untuk menggalakan semangat murid-murid yang (pertengahan) berpotensi untuk membuat lonjakan pada UPSR tahun ini.

Apapun, warga Panitia Agama Islam SK Santan mengambil kesempatan dan ruang yang ada ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua murid tahun 6 di atas keputusan yang mereka perolehi. "Alfu Mabruk" khusus buat yang mendapat keputusan 5A. "Alfu Mabruk" juga buat semua murid yang tidak mendapat keputusan 5A. "Ini kerana kalian sudah berusaha, dan inilah keputusan yang terbaik (dengan izin Allah) buat kamu. Sebagai muslim kita dituntut untuk berusaha, bukan dituntut untuk menentukan sesuatu kejayaan, kerana 'Kejayaan' adalah anugerah (milik) Allah swt untuk hamba yang dikehendaki-NYA".

Buat warga guru terutamanya guru tahun 6, "janganlah merasa sedih dan berduka, semua guru telah menunjukan komitmen yang terbaik begitu juga pihak pentadbir dan PIBG sekolah yang tidak henti-henti memikirkan yang terbaik untuk murid  tahun 6, segala ketentuan ini hendaklah kita terima dan kita telan dengan hati yang redho".



Berikut senarai murid yang beroleh keputusan cemerlang 5A UPSR 2010:

  • Ahmad Wafiy Bin Ahmad Kamel
  • Muhammad Amin Bin Ahmad Kamal
  • Nasrun Haziq Bin Hussin
  • Nisa Amanina Binti Muhammad Faudzi
  • Nur Faza Zinnirah Binti Fadzil
'Kita merancang, Allah juga merancang. Pastinya perangcangan Allah itu lebih baik'


*Gambar-gambar ini di ambil dari blogger SKS Pn.Intan Dzulhailah di blognya.

Isnin, 1 November 2010

SK Santan Banjir..!

Sekolah Kebangsaan Santan (SKS) antara sebelas buah sekolah yang ditutup hari ini, kerana banjir besar melanda negeri Perlis. Berita penutupan ini dibuat Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) En.Mansor Bin Lat (Baca Sini). Air didapati memenuhi ruang SKS seawal pagi hari isnin lagi (01.11.2010) kerana hujan lebat yang tidak henti-henti semenjak pagi hari ahad lagi.

Apapun, marilah sama-sama kita berdoa kepadaNYA agar semuanya kembali seperti biasa. Anak-anak dapat bersekolah seperti biasa, begitu juga segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Buat rakan-rakan guru terutamanya, dinasihatkan agar berhati-hati dan banyak bersabar di atas ujian dan dugaan ini. Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku ini. "Kita hanya merancang, Allah sahaja yang menentukan".



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...