Sabtu, 27 Mac 2010

Gerai Panitia di Temasya Olahraga

Pada 25 & 26 Mac, berlangsungnya Kejohanan Bola Jaring, peringkat Pusat Kecemerlangan Pelajaran (PKP) Jejawi, bertempat di padang SK Santan. Seramai 6 pasukan menyertai kejohanan ini. Temasya yang penuh kemeriahan ini, berjalan dengan sebaiknya dan seperti yang dirancang.

Panitia Agama (PA) & Pusat Sumber Sekolah (PSS), mengambil peluang untuk menyumbang kemeriahan temasya ini dengan membuka gerai jualan. Gerai PA memilih untuk menjual ais krim M`sia, sagon, dadih dan pelam asam. Manakala gerai PSS menjual rojak, air minuman pelbagai perisa, sandwich dan gula-gula.

Sambutan pengunjung sangat memberangsangkan. Cuaca yang sangat panas, melariskan lagi jualan-jualan di gerai. PA juga melantik beberapa orang murid dari kalangan ahli Kelab Agama Islam & Bahasa Arab untuk berperanan sebagai 'Mobile Kiosk' menjaja barang-barang PA di setiap ruang temasya berlangsung.

Urusan jual beli, tukaran wang syiling, dan susun urus jualan 'mobile kiosk' semuanya diurus oleh ahli kelab disamping penyeliaan dan pemantauan dari guru. Penglibatan ahli kelab dalam jualan ini juga, bertujuan untuk mendedahkan mereka kepada aktiviti luar bilik darjah. Elemen amanah, bertanggungjawab adalah antara nilai murni yang dipupuk dalam aktiviti ini. Sehinggakan ada murid yang datang kepada guru membawa wang kertas RM10 untuk dikembalikan sebanyak RM9.50 kepada pengunjung gerai yang bersantai di bawah khemah peserta . Semoga budaya 'al-Ihsan' sentiasa tersemat di hati murid-murid dan diri kita semua.

Setinggi tahniah diucapkan kepada pentadbir sekolah, kerana membenarkan PA membuka gerai jualan. Begitu juga setinggi penghargaan kepada warga PA dan murid-murid yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam membantu melicinkan aktiviti PA kali ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian.

*Pengertian al-Ihsan: ialah bahawa kamu menyembah Allah seperti kamu melihat Nya, maka jika kamu tidak dapat melihat Nya, maka (yaqinlah) sesungguhnya Allah melihat kamu.

'TERIMA KASIH SEMUA' 

Ahad, 21 Mac 2010

Maulidur Rasul Suatu Penghayatan.


“Tahniah buat Panitia Agama Islam kerana dapat melaksanakan program Maulidur Rasul seperti yang tercatat dalam taqwim sekolah” 
En.Shahril Ridzwan Wan Bin Abdullah (Guru Besar).


Jumaat, 12 Mac 2010, Ruang legar kantin SKS bergema lagi dengan laungan selawat, setelah ianya bergema pada 25 Feb yang lalu dalam mesyuarat agung PIBG sekolah. Kali ini giliran Panitia Agama Islam (PAI) pula menganjurkan program sempena maulidur rasul. Laungan selawat memuji baginda SAW dipimpin oleh ustaz Mohd Dzahar Ahmad bersama warga guru dan murid-murid yang hadir.

Sambutan kali ini dilaksanakan dengan aktiviti yang sangat terhad, berikutan minggu ini merupakan minggu peperiksaan. Kumpulan sasaran program maulidur rasul kali ini adalah dikalangan murid tahap dua (tahun 4, 5 & 6).

Namun, syukur alhamdulillah kerana segala yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan izin Allah. Kekangan masa, kesibukan dengan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum di peringkat kawasan, tidak menghalang PAI mengatur program ringkas menjayakan maulidur rasul pada tahun ini.

Bertemakan ‘Maulidur rasul suatu PENGHAYATAN bukan KEMEGAHAN’ PAI meletakkan dua objektif penting dari program ini.

Pertama: Memberi pengetahuan kepada murid mengenai Maulidur Rasul. 
Kedua   : Mewujudkan kesedaran dan kasih sayang terhadap junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Justeru, bagi merealisasikan objektif ini, PAI mengundang ustaz Mohd Khidzrul Hafiz menyampaikan ceramah maulidur rasul yang mencakupi aspek pengetahuan dan penghayatan terhadap perjuangan baginda Muhammad SAW. Beliau juga menjalankan ‘kuiz spontan’ bagi menguji kepekaan dan pengetahuan murid terhadap ‘content’ yang disampaikan. Alhamdulillah sambutan dari murid-murid sangat membanggakan.

Sebelum bersurai, Guru Besar (GB) menyampaikan ucapan terima kasih terhadap PAI kerana program maidur rasul ini dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. GB juga, merakamkan ucapan terima kasih dan menyampaikan cenderahati kepada 5 orang guru pelatih dari IPGM Kampus Perlis dan Tengku Bainun, di atas khidmat yang diberikan, sekalipun mereka hanya berada dua minggu sahaja di sekolah.

Majlis yang bermula pada 10.50 pagi, berakhir pada 12.10 tengahari.

Sabtu, 13 Mac 2010

KBS sulung 2010


JUMAAT 29 Jan, Panitia Pendidikan Islam SK Santan telah berjaya menjalankan aktiviti Kem Bestari Solat (KBS) kali 1 untuk murid-murid tahun satu 2010. Program yang dirancang semenjak penghujung 2009 dapat dilaksanakan mengikut taqwim sekolah. Ini merupakan program kedua Panitia Pendidikan Islam setelah program ceramah Maal Hijrah yang diadakan pada minggu pertama pesekolahan.


Objektif kem ini, lebih kepada 'ta`aruf'. Iaitu memperkenalkan kandungan program kepada murid-murid tahun satu, selain menanam minat dan tanggungjawab terhadap kefardhuan solat lima waktu. Baginda Rasulullah SAW sangat menekankan pendidikan solat terhadap anak-anak. Sabda baginda yang bermaksud: "Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka (anak lelaki dan perempuan) ketika mereka berusia sepuluh tahun...".

Sesungguhnya tuntutan solat ini adalah tuntutan asas dan pokok dalam agama Islam. Seseorang itu akan terlebih dahulu diperhitung amalan solatnya di hadapan Allah sebelum dilihat segala 'hasanah' zakat, sedekah, haji dan lain-lain. Insyaallah, siri-siri KBS yang berikutnya akan memantapkan lagi asas-asas bacaan dalam solat, di samping praktikal solat yang lebih disiplin dan teratur.

Program KBS kali pertama ini, dihadiri seramai 50 orang murid dari kelas 'Maju' dan 'Jaya', manakala fasilitator nya seramai 7 orang guru. Program yang bermula jam 2.30 petang ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan dari ibubapa murid. Semoga sokongan ini akan berterusan selama anak-anak mereka di SKS insyaallah.

Segunung tahniah, kami dedikasikan buat Ketua Panitia (KP) Pendidikan Islam Ustazah Fhadla Ismail di atas kemitmen yang sangat tinggi, segala program yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan mengikut taqwim sekolah. "Syukur alhamdulillah..! Dah selesai satu KBS" ujar ustazah Nawal. "Tengok la, sapa KP tahun ni, ayaq mineral pun dapat, biskut pun sedap" sampuk ustaz Dzahar sambil mengisyaratkan pada KP. Kami akan cuba memberi komitmen yang terbaik terhadap KP insyaallah. Program berakhir dan bersurai jam 5.15 petang setelah selesai solat asar berjamaah.

Tahniah warga PI... Segala kerjasama didahului dengan ucapan jazakallahu khairan kathira, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Santan Boleh!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...