Sabtu, 13 Mac 2010

KBS sulung 2010


JUMAAT 29 Jan, Panitia Pendidikan Islam SK Santan telah berjaya menjalankan aktiviti Kem Bestari Solat (KBS) kali 1 untuk murid-murid tahun satu 2010. Program yang dirancang semenjak penghujung 2009 dapat dilaksanakan mengikut taqwim sekolah. Ini merupakan program kedua Panitia Pendidikan Islam setelah program ceramah Maal Hijrah yang diadakan pada minggu pertama pesekolahan.


Objektif kem ini, lebih kepada 'ta`aruf'. Iaitu memperkenalkan kandungan program kepada murid-murid tahun satu, selain menanam minat dan tanggungjawab terhadap kefardhuan solat lima waktu. Baginda Rasulullah SAW sangat menekankan pendidikan solat terhadap anak-anak. Sabda baginda yang bermaksud: "Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka (anak lelaki dan perempuan) ketika mereka berusia sepuluh tahun...".

Sesungguhnya tuntutan solat ini adalah tuntutan asas dan pokok dalam agama Islam. Seseorang itu akan terlebih dahulu diperhitung amalan solatnya di hadapan Allah sebelum dilihat segala 'hasanah' zakat, sedekah, haji dan lain-lain. Insyaallah, siri-siri KBS yang berikutnya akan memantapkan lagi asas-asas bacaan dalam solat, di samping praktikal solat yang lebih disiplin dan teratur.

Program KBS kali pertama ini, dihadiri seramai 50 orang murid dari kelas 'Maju' dan 'Jaya', manakala fasilitator nya seramai 7 orang guru. Program yang bermula jam 2.30 petang ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan dari ibubapa murid. Semoga sokongan ini akan berterusan selama anak-anak mereka di SKS insyaallah.

Segunung tahniah, kami dedikasikan buat Ketua Panitia (KP) Pendidikan Islam Ustazah Fhadla Ismail di atas kemitmen yang sangat tinggi, segala program yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan mengikut taqwim sekolah. "Syukur alhamdulillah..! Dah selesai satu KBS" ujar ustazah Nawal. "Tengok la, sapa KP tahun ni, ayaq mineral pun dapat, biskut pun sedap" sampuk ustaz Dzahar sambil mengisyaratkan pada KP. Kami akan cuba memberi komitmen yang terbaik terhadap KP insyaallah. Program berakhir dan bersurai jam 5.15 petang setelah selesai solat asar berjamaah.

Tahniah warga PI... Segala kerjasama didahului dengan ucapan jazakallahu khairan kathira, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian.

Santan Boleh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...