Rabu, 2 November 2011

Puasa Hari A`rafah


عَنْ أَبِي قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ ، قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَوْمُ يَوْمِ عَرَفَةَ يُكَفِّرُ سَنَتَيْنِ مَاضِيَةً وَمُسْتَقْبَلَةً ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَاشُوْرَاء يُكَفِّرُ سَنَةً مَاضِيَةً
( رَوَاهُ الْجَمَاعَةُ إِلَّا البُخَارِيُّ وَالتِّرْمِذِيُّ  )

Daripada Abu Qatadah RA katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : Puasa Hari Arafah menghapuskan dosa dua tahun, setahun yang telah berlalu dan setahun mendatang, sedangkan puasa Hari ‘Asyura’ (pula) menghapuskan dosa setahun yang telah berlalu. (HR Al-Jamaah kecuali Bukhari dan Tarmidzi)

Pengajaran Al-Hadis :

1. Hari Arafah datang setiap tahun iaitu hari ketika jamaah Haji sedang melaksanakan kemuncak ibadat haji iaitu Wuquf di Arafah pada 9 Dzul Hijjah. Kalau pada Nota 049 terdahulu sudah dibincangkan tentang kelebihan amalan soleh yang dilakukan pada 10 pertama bulan Dzul Hijjah, maka tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Hari Arafah adalah kemuncak dari hari-hari tersebut. Rasulullah SAW pernah ditanya : Apakah itu haji ya Rasulullah ? Jawap baginda SAW : Haji adalah Arafah. Atas sebab itu sebahagian ulama menamakan Hari Arafah sebagai “Penghulu Hari Dalam Setahun”. 

2. Diantara kelebihan puasa Hari Arafah ialah ia dapat menghapuskan dosa selama dua tahun. Setahun berlalu dan setahun mendatang. Adapun yang dimaksudkan dengan dihapuskan dosa setahun akan datang ialah setiap kali ada keinginannya akan melakukan suatu dosa lalu Allah SWT akan memalingkan hatinya daripada melakukannya sehingga ia tidak jadi melakukan dosa tersebut. Adapun maksud dosa-dosa yang dihapuskan itu ialah hanya terbatas kepada dosa-dosa kecil sahaja, bukan dosa-dosa besar, sebab dosa-dosa besar hanya dihapuskan oleh Allah melalui taubat nasuha dengan memenuhi syarat-syaratnya. Puasa Arafah hanya disunatkan ke atas umat Islam yang tidak melakukan Ibadat Haji sahaja. Demikian ketentuan Nabi SAW.

3. Namun demikian, terdapat satu lagi syarat agar dosa-dosa kecil tersebut dihapuskan oleh Allah SWT dengan melakukan puasa Hari Arafah, iaitu pelakunya mestilah menghindarkan diri dari dosa-dosa besar. Hal ini tercantum dengan jelas di dalam Al-Quran : Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar diantara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosa kecilmu) dan Kami masukkan kamu ke tempat-tempat yang mulia (syurga) – (Al-Nisa’ : 31). Rasulullah SAW bersabda : Solat yang lima, dan Jumaat ke Jumaat berikutnya, dan Ramadhan ke Ramadhan berikutnya adalah penghapus dosa-dosa diantara keduanya selagi dia menjauhi dosa-dosa besar. (HR Muslim)

Sumber: FB Abdullah Yasin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...